Sunday, January 9, 2011

KEMAHIRAN MENGHASILKAN PENTAS TEATER YANG KREATIF


Kreativiti didefinisikan sebagai kemampuan untuk mencipta sesuatu yang unik, asli, berguna, bernilai dan ia berkait rapat dengan kemahiran membuat dan imaginasi. Untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif, maka ianya harus mempunyai kecerdasan kreatif. Kecergasan kreatif mengandungi empat gaya iaitu inovatif, imaginatif, intuitif, dan ilham bagi menghasilkan sesuatu yang baru dan berbeza terutama bagi penghasilan sesebuah karya seni. Berhubung perkara ini, maka penyelidik dan juga sebagai pensyarah, telah melakukan penelitian terhadap pelajar-pelajar di Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang telah mengambil kursus-kursus dalam Rekaan Set dan Prop, Seni Visual Dalam Teater dan Komunikasi Visual.

Objektif penelitian kualitatif ini untuk mengenalpasti perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri bagi menghasilkan sesuatu rekaan dan binaan set dalam sesebuah pementasan teater. Kegiatan mereka dan membina set ini merangkumi penerokaan terhadap unsur seni dan prinsip rekaan serta mengenali pelbagai alat, bahan dan kegunaannya untuk menghasil model-model yang terbaik untuk sesebuah produksi teater. Latihan dalam studio yang melibatkan rekaan dan binaan set turut memperkenalkan pelbagai teknik dan kemahiran membina model set yang kreatif serta menarik bila dipersembahkannya. Kesedaran melalui pemerhatian alam dan persekitaran menjadi fokus kegiatan menghasilkan rekaan dan binaan set yang kreatif. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual pelajar dan kesedaran terhadap asas senireka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Ini akan membolehkan pelajar menyelaras apa yang dilihat dan dialami seterusnya digunakan dalam proses rekaan dan binaan model set untuk pementasan teater.

Kesimpulan hasil dari penelitian, penyelidik mendapati kemahiran menjana idea secara kreatif dan inovasi bagi penghasilan rekaan dan binaan set teater mempunyai pertalian yang penting dengan teknik dan sumber bahan yang digunakan. Perkaitan ini dapat dibahagikan kepada empat disiplin utama. Empat disiplin tersebut harus dijadikan teras bagi kemahiran menjana idea secara kreatif dan inovasi. Empat disiplin tersebut termasuklah pemahaman visual, latihan yang berkaitan unsur seni dan prinsip rekaan, kefahaman dalam organisasi rekaan, kajian teori dan analisis yang berkaitan dengan aspek visual set pementasan dan seni persembahan teater secara keseluruhan.


Pelajar sedang melakukan eksperimentasi penggunaan bahan-bahan dari kotak 
terbuang untuk dijadikanmodel pentas teater

No comments:

Post a Comment